Header Ads

TIADA ISTILAH 'BUNUH' ZIZAN - ALIF SATAR

TIADA ISTILAH 'BUNUH' ZIZAN - ALIF SATAR


Tiada Istilah Bunuh Zizan Alif Satar

Penyanyi dan pelakon Alif Satar menjadi trending di laman sosial Twitter selepas diumumkan sebagai pengacara bersama Zizan Razak di konsert pertama AF2016 semalam.

Menerusi hashtag #AF2016, ramai yang memuji kredibiliti Alif sebagai seorang pengacara dan menganggap pengacaraan aktor itu jauh lebih baik berbanding Zizan.

Alif bagaimanapun ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut memberitahu dia tidak pernah memikirkan tentang hal itu dan hanya menjalankan tugas yang diberikan dengan penuh tanggungjawab.

“Tiada istilah nak ‘bunuh’ Zizan, tak mungkin. Tak ada niat langsung untuk fikir sampai ke tahap itu.

“Lagipun waktu saya diberitahu untuk jadi pengacara AF2016, memang saya tidak tahu langsung siapa pasangan saya.

“Bila kita  bekerja dengan orang yang sangat berbakat dan senang nak terima pendapat, kerja itu akan jadi lebih seronok.

“Sebab itu saya kata tidak ada terfikir langsung tentang hal tersebut. Saya hanya menjalankan tanggungjawab dan secara jujurnya Zizan banyak membantu,” katanya ketika ditemui sejurus selesai konsert pertama AF2016 di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) semalam.

Selain itu, Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar juga menyatakan tidak mudah untuk menjadi menjadi pengacara AF2016 dan tugas tersebut umpama satu 'bebanan' yang besar buat dirinya

“AF2016 merupakan satu pentas yang sangat besar. Bila ditawarkan untuk jadi pengacara, perasaan takut itu memang tak boleh dinafikan.

“Siapa yang tak kenal AF? Tipulah kalau kata ada yang tak pernah dengar mengenai Akademi Fantasia.

“Jadi pengacara AF ini memang mencabar, tengok sahajalah barisan pengacara terdahulu seperti Datuk Aznil, Datuk AC, Sarimah Ibrahim dan sekarang Zizan, semuanya nama-nama besar.

“Sampai saya masih tertanya-tanya layakkah saya jadi pengacara AF? Sehingga ke hari ini saya masih lagi rasa tak percaya yang saya adalah hos AF2016.

"Gementar juga bila fikir apa yang kita buat tak sama dengan apa yang diharapkan oleh penonton diluar sana.

“Tapi Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar untuk konsert pertama dan saya akan perbaiki lagi kekurangan saya untuk minggu seterusnya,” jelasnya.

Selain Alif, penghibur terkenal yang mencipta nama di Perancis, Datuk Sheikh telah diumumkan sebagai pengetua AF2016.

Sementara itu, Datuk Sheikh juga turut mengumumkan tiada penyingkiran untuk konsert pertama sekaligus memberi peluang kepada 14 pelajar kembali meneruskan pengajian di Akademi Fantasia.

Pelajar yang mendapat keputusan tertinggi adalah Amir diikuti dengan Reshma, Ara, Afi, Asha, Amal, Rahila, Halmy, Rais, Zarol, Riana, Jasper, Ikram dan Isa.

Untuk minggu pertama, keputusan serta kuasa penjurian adalah 100 peratus berdasarkan pemilihan pengetua dan barisan juri tetap iaitu Datuk Ramli MS dan Datuk AC Mizal.

Saksikan Konsert AF 2016 yang bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) secara ekslusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap hari Ahad, jam 9 malam.

Manakala rutin harian para pelajar menjalani kehidupan di akademi pula boleh ditonton menerusi Diari AF 2016 pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang bermula 15 Ogos di saluran sama.

Untuk mengikuti perkembangan pelajar, layari Akademi Fantasia.

No comments:

Powered by Blogger.